Search

133 MURID SEKOLAH DARI DAERAH JOHOR BAHRU TERIMA B...

  • Share this:

133 MURID SEKOLAH DARI DAERAH JOHOR BAHRU TERIMA BANTUAN CERMIN MATA BAGI FASA PERTAMA

Seramai 133 murid sekolah rendah merangkumi pelbagai bangsa dan agama dari daerah Johor Bahru menerima bantuan cermin mata menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Season Optical.

Terdahulu pada pagi tadi (17 Mac), murid-murid berkenaan menjalani pemeriksaan mata yang dijalankan oleh Season Optical bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.

Penyampaian bantuan cermin mata kepada murid-murid sekolah yang mengalami masalah penglihatan dari kategori Keluarga B40, melibatkan mereka dari seluruh daerah di Johor.

DYMM Sultan Johor sebelum ini, bertitah YSIJ bersama Season Optical menjalinkan kerjasama dalam menghulurkan bantuan cermin mata bernilai RM500,000 kepada 2,500 murid sekolah di seluruh Johor.

Pada hari ini, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Dato’ Avinderjit Singh bersama Timbalan Pengarah Pendidikan Johor (Sektor Pembangunan Murid), Tuan Haji Omar Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili meluangkan masa melihat pemeriksaan mata yang dijalankan oleh Season Optical.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Season Optical, Calvin Chung dan Ketua Pegawai Operasi Season Optical, Daniel Lor.

Menurut Daniel Lor, penyampaian bantuan cermin mata akan dilakukan secara berperingkat di seluruh daerah, dengan mengambil masa tempoh setahun.

"Bingkai cermin mata yang diberikan kepada penerima bantuan juga cukup berkualiti.

"Fasa pertama ini, melibatkan jumlah penerima seramai 133 orang, di mana pemeriksaan mata akan dijalankan pada hari ini dan esok," katanya.

#sultanjohor
#royalpressoffice
#johor


Tags:

About author
not provided